Monday, December 1, 2008

Apam bungkus yang killer!

Apam bungkus. Pernah rasa? Bukan kuih apam biasa yang boleh jumpa di mana-mana barkery sekarang. Ini apam tradisional yang sangat terkenal dalam masyarakat Negeri Sembilan. Mungkin ia sudah lama ditelan oleh modenisasi sekarang, namun masih ada yang masih meminatinya.

Apam bungkus yang paling popular dalam Negeri Sembilan ini, setahu aku adalah di Johol, sebuah mukim di Kuala Pilah. Dan baru-baru ini aku berpeluang untuk merasai sejauh mana kesedapan apam bungkus ini.

*teh susu dengan apam killer!

Aku sangat bertuah kerana mempunyai seorang ibu yang pandai memasak masakan tradisional. Tak kira lauk pauk atau kuih muih. Baru-baru ini ibu kesayangan aku telah membuat apam bungkus ini. Sangat sedap! Bayangkan minum petang di bawah pokok rambutan, bersama keluarga. Teh susu panas dengan apam bungkus yang masih baru diangkat dari pengukus. Selak daun pisang yang membalutinya, nah; isi apam yang berwarna perang kecoklatan sambil haba keluar dari dalamnya. Aroma wangi daun pisang yang membaluti apam merewang ke hidung kamu.. Ahh wangi!

Sekali pandang, apam bungkus ini fizikalnya kelihatan seperti kuih koci atau lepat kerana susuk apam ini dibaluti daun pisang. Tapi saiznya besar sedikit. Kalau di Johol, ia dibalut dengan daun rambai. Tapi apam bungkus buatan ibu dibalut dengan daun pisang. Ibu sedikit membuat inovasi dengan meletakkan inti kelapa didalam apam. Lagi sedap! Bila kita cubit apam gebu yang berinti kelapa itu dan suap didalam mulut, ummhh, kunyah ya kunyah lagi apam yang lembut lagi gebu itu, sedikit panas tapi teruskan kunyah dan telan. Hirup sedikit teh susu panas. Fuh memang sedap.


*apam merekah! perghhh

*set minum petang yang lengkap!

Pernah kamu lihat atau makan apam bungkus ini? Aku sangat merekomendasi kamu untuk mencubanya! Cuba dahulu baru beri komen. Kuih tradisional yang ‘rare’ begini memang payah dijumpai dijual di kedai-kedai sekarang. Kamu ada kuih tradisional yang ‘rare’ untuk dikongsi? Atau kamu memang tidak makan kuih tradisional sebegini? Oh saya terlupa, kamu hanya mengkonsumi makanan syarikat multinasional kapitalis itu kan. Betul? Patutlah kamu tidak faham apa yang saya coretkan ini. Sigh….