Thursday, January 14, 2010

BILA MALAM , RESAH TAK BOLEH LENA...

sunyi.


sunyi.


sunyi.



*
tenang saja malam ini. tenang sekali. bintang bertabur ada jauh berbalam-balam cahaya. mungkin sebab petang hujan lebat, langit nampak bersih tanpa ada awan besar bergerombol tebal. cengkerik riang berbunyi diselang suara katak memanggil hujan. tiada tanda hujan akan turun malam ini, walau angin bertiup dingin.

mata masih terkebil-kebil lagi. sudah dipaksa pejam tapi masih segar tak mahu lelap. posisi mengiring dirtukar dari terlentang. selimut menutup separa pinggang, aku tarik sehingga melitup leher. ayat-ayat lazim serta 21 bismillah sudah lama dibaca, kata arwah nenek senang tidur kalau dibaca; tak jalan juga.

ambil telefon bimbit lihat jam digitalnya. sudah 4 pagi. teman sebilik lama dah lena dibuai mimpi indah.

hendak baca buku, tiada minat yang bersungguh. pokoknya aku mahu lena yang natural. yang lena disebabkan tiada paksaan atau penggunaan dadah yang membuatkan aku mengantuk. bukan tak boleh dibuat, memang ada ubat tidur. tapi pastia ada kesan jangka panjang. tak mahu.

baik. aku tekad cari punca masalah. cari mana simpulnya payah menikmati anugerah tidur ini. mula dari siang. semua seperti biasa, ke kelas dan makan. petang berpeluh dengan sukan. malam tadi seperti biasa juga. makan dan buat kerja sedikit. mana punca aku sendiri tak tahu.

makan malam. ya! aku rasa aku dah tahu mana punca semua ni. semua punca makan malam tadi. makanan tak ada masalah. cuma mungkin minuman. sejuk-sejuk takkan nak minum yang sejuk kan? mesti yang panas. nak kelainan ni lah padahnya!

gatal sangat nak cuba. hambik ni. bergelora tak boleh lelap! demm!







Tuesday, January 12, 2010

KHATEEP #2




sedang enak melabuhkan penat atas hamparan tilam empuk, telinga disumbat dengan earfon sambil putar seleksi lagu pop jiwa-jiwa, petang ni tak stim langsung nak dengar grindcore macam selalu. layan lagu balada memang enak nak buati iris mata ni mengecil.ada mesej masuk. ringkas pesanan dari emak, aku baca paparan mesej teks yang berkelip-kelip sambil layan lagu Pak Long- Selagi ada rindu. lagu ni kalau dekat youtube, pasal budak bunuh diri putus cinta. apa la. rileks-rilek mat kojek suda!


angah, khateep demam.

*yang tak kenal khateep, rujuk entri sebelum-sebelum ni.

macam mana boleh demam pula? selalu elok nakal, tak pernah-pernah demam.
aku balas mesej emak.

badan dia panas. mata pun layu.
mak balas semula.

takkan khateeep main hujan kot mak sampai demam panas pula.
balas aku lagi.

rindu dekat kamil agaknya. selalu kamil yang bawa tidur, bagi makan, mandikan, ni kamil dah duduk asrama.makan pun tak selera. dua ekor ikan kembung tak habis pun. tak cergas macam selalu. main pun kurang. pasif je
kata mak lagi.

kesian. betul kata emak mungkin. si khateep pun terasa kamil duduk asrama sekarang. abah sibuk kerja, mungkin tak ada orang yang nak bawa khateep pergi klinik veterinar kerajaan.

hujung minggu ni rasa nak pulang ke kampung, bawa khateep pergi klinik. aku tak boleh betul la tengok kucing sakit, ke terbiar ke. rasa kesian. paling aku pantang orang pukul atau sepak kucing. kalau tak suka kucing pun, tak perlu nak berkasar, banyak cara lain lagi. ya aku seorang moralis yang sayang pada haiwan. kucing tentu sekali. biarlah orang nak cakap apa pun. mencintai kucing lebih baik dari mencintai orang yang tak tentu setia.

rasa rindu kat khateep. harap tak ada la perkara buruk menimpa dia. sabar ea teep hujung minggu ni angah balik.

khateep pasti keluar bilik bila aku pasang lagu emo putus cinta. tapi dia pasti tidur lena bila dengar fall of efrafa. haih..

Sunday, January 10, 2010

KAMIL; PERJALANAN BERMULA!

Justify Full
aku cuma ada seorang adik lelaki yang ini. muhammad kamil nama dia. kecil saja susuk badan tapi besar jiwa. macam abang dia yang seorang ini juga.

hari ini merupakan hari pertama kamil akan bersekolah menengah. dan hari ini kamil pergi mendaftar di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Jempol, Negeri Sembilan. menginjak ke usia awal remaja dan bakal mengharungi kehidupan berasrama tidak lagi tinggal di bawah payung kehidupan keluarga. aku harapkan kamil dapat mengharungi setiap hari baru dengan baik. mampu belajar sesuatu untuk kehidupan remaja.

aku sempat pesan pada kamil, kena ragging tu perkara biasa hidup diasrama, tapi kalau dah kena pukul teruk itu, penderaan. jangan takut bila kau tak salah. telefon aku bila ada masalah. selamat menempuhi alam remaja, jangan abaikan pelajaran dan nikmati hidup ini.

*gambar sewaktu mencuba pakaian sekolah menengah baharu dan belajar mengikat tali leher.

bakal merindui adik lelaki yang menjadi teman bila aku tak ada teman. akan jarang aku buli.
saya sayang adik saya.

Thursday, January 7, 2010

ENTRI INI LAGU TEMANYA MACAM TELEFILEM TASBIH CINTA.

Di satu sudut aku lihat satu susuk tubuh duduk tertunduk sampil memeluk erat dua lutut rapat ke dadanya. Tuan punya batang tubuh memang aku kenal rapat. Fathir namanya. Orangnya kurus tinggi, pandai juga mudah didekati, riak muka garang tapi hatinya baik. sepertinya dia mengalami sesuatu yang payah mengganggu dirinya. puntung rokok bertaburan atas lantai. sejak bila dia merokok aku tak tahu.

Aku dekati fathir perlahan. Sentuh perlahan bahunya. “apa buat ni tir?” aku tegur. Fathir angkat muka yang sembam. Riak kerut dahi dengan mata yang layu seolah dia sedang bermurung durja. “kenapa ni?” aku tanya lagi. Sebelahnya aku labuhkan punggung. “ada masalah sikit la,” jawabnya perlahan tak bermaya. “kusut benar aku tengok kau satu dua hari ni, besar sangat ke masalah?” aku tanya lagi. Fathir diam. “masalah dengan awek la ni? Hahaha” aku tanya sinis. Fathir angguk mendiam diri. “ceritalah mana tahu aku boleh bantu,” memujuk dia membuka cerita. rokok pall mall light dinyalakan, untuk beginner-smoker macam dia ni, light mungkin sesuai.

berat benar menceritakan apa yang membuku dibenaknya. Sememangnya dia seorang yang begitu, perahsia dan suka memendam rasa. disedut rokoknya, hembus asap putih merawang. berkepul-kepul kemudian hilang. Dia menghela nafas panjang. Dalam-dalam ditariknya oksigen petang itu dan didengus keluar mengeluh karbon monoksida. “awek aku minta putus,” mukadimah simpul murungnya dibuka. “baik, aku mendengar,” aku tunjuk rasa prihatin dengan masalahnya. “dia mahu Cuma jadi kawan sahaja sekarang. Katanya itu yang terbaik buat aku dengan dia. Tapi aku tak boleh. Aku takkan boleh untuk jadi Cuma kawan pada dia. Tak ada makna,” sedikit-sedikit dibuka masalahnya. “takkan tiba-tiba?”aku soal. “atas alasan apa?”. “Dia kata aku tak lagi percaya pada dia. Betul tapi tidaklah seratus peratus aku percayakan dia, sedikit sangsi mesti ada terdetik betul tak?” hujah fathir. Tepat anak matanya meyakinkan aku.

“dulu, dia pernah berubah hati pada lelaki lain, tak apa. aku beri peluang betulkan kesalahannya semula. Tapi mana mungkin kepercayaan itu akan terus berada pada angka 10? Aku berikan 7 dan 8 angka percaya dari 10 yang pernah aku berikan dahulu,” dia hujah panjang. Nada kecewa jelas terpacul pada setiap susun katanya itu. Kecewanya jelas.

“mungkin kau berubah lepas semua tu?” aku tanya. “betul aku berubah. Aku jadi seperti yang mana dia mahu aku hendak. Aku turut apa dia mahu. Aku tak mahu sia-siakan hubungan setahun, lagipun aku tak pandang perempuan lain aku dah rancang untuk hubungan lebih serius dari sekarang ni,” “kau tak jelaskan pada dia semua ni? Aku tanya lagi. “puas dah. Tapi dia tetap mahu jadi kawan. Cuma kawan. Aku tak mahu itu.” Mengeluh hujung katanya. Berkaca-kaca matanya seperti hendak menangis tapi tetap ditahan-tahan. Malu barangkali untuk menitiskan air mata jantan depan aku. Ego lelaki. “Aku tahu aku tak kacak, aku sedar aku tak kaya, kereta tak ada, dengar muzik bising, badan tak gagah, tak pandai main futsal, tak pergi gym senang cerita tak dapat jadi macam apa yang dia hendak. Aku tau aku serba serbi kurang. Senangnya perempuan berubah hati. Haihh” megeluh lagi.

Aku paut bahunya. “sudahlah tir. Orang dah tak hendak, tetap tak hendak. Buatlah macam mana pun, tetap tak mahu tir. Biarkanlah, sekurang-kurangnya kau ada usaha pertahankan hubungan kau ini. kira kau dah berjuang untuk cinta kau,” seolah kaunselor aku tenangkan fathir. “banyak lagi benda kau boleh buat dari duduk meratap macam ni. Biarlah benda dah lepas tu biar lepas tak payah nak ingat-ingat. Bila kau ingat yang sakit nanti hati kau juga. Setiap manusia punya masalah, setiap manusia benci kegagalan jangan kau seksa batin kau sendiri, lekas bangkit dari kekalahan!” "semangat ditabur pada fathir. "kata techgrind, progressive death metal, crusties kental tak payah la macam ni". konon motivasi si doktor cinta. padahal aku sendiri celaru dengan cinta tak kesampaian.

“rul..” sapa fathir pendek. “terima kasih, rasa lega sikit,” katanya pendek. “tak apa, kita kawan kan?” aku senyum jawab katanya tadi.

“kita couple nak rul?”tiba-tiba fatihr bersuara. “couple dengan siku gua nak?” jawab aku sambil acungkan siku kanan padanya.

Wednesday, January 6, 2010

SUSAH NAK CAKAP. IT’S COMPLICATED

Semester baru buka dah mula kelas, tutorial, kuliah dan apa juga gelaran dalam padang belajar di institusi ini. untuk semester 7 ini aku Cuma ada dua subjek; kajian tindakan dengan bimbingan dan kaunseling. Macam berat, tapi tinggal satu saja semerter lagi, aku layankan. Tak seberat sound progressive death metal yang jadi playlist aku sekarang. Sheh untuk belajar masih belum ada. Sememangnya aku bukan jenis yang naik sheh bila belajar ni. Biasalah; kenyataan untuk orang yang biasa-biasa macam aku ni.

Hari ini kuliah bimbingan dan kaunseling dalam dewan syarahan. Tiga kelas bergabung sekali memenuhkan 3 4 baris depan dewan. Kuliah encik omar, pensyarah subjek ini memang tak pernah membosankan. Walaupun isi kuliahnya separa berat namun masih boleh dihadam dan dicerna oleh susuk-susuk tubuh bakal guru yang 61 orang dalam dewan sejuk ni.

Setiap isi kuliah pasti dihurai dengan bahasa dan contoh mudah yang tidak abstrak dan mampu dijelma dalam pelbagai figura oleh minda yang berkuliah dengan encik omar. Terkadang ada bahan kecindan yang membuatkan seluruh isi dewan berdekah-dekah ketawa. Tapi aku, masih terwang-awang semacam khayal hilang panduan dan tumpuan. Tak semua yang dikuliahkan dapat aku tangkap isi butirnya. Ada yang lepas lolos dari storan primer juga sekunder.

“cikgu ni, elok cari jodoh yang sekufu. Cikgu dengan cikgu senang cerita. Sebabnya cikgu saja yang faham masalah dan dunia cikgu ni betul?” tanya encik omar menghurai isi. “betullll.” Jawab hadirin dewan. Ada butir-butir senyum terukir. “dari sekarang, dah semester 7 ni, patutnya dah patut ada calon,” tambah encik omar. Maka meleretlah bunyi hadirin mengomel tak kurang berjenaka nakal dengan cakap-cakap encik omar tadi.

“ha bang, kau dah ada calon belum?” tanya encik omar sambil menuding jari kearah aku. Aku buat selamba. Buat macam orang depan kena soal. “ha awaklah” kata encik omar lagi. Aku buat pandang belakang, semacam orang belakang yang kena soal. “kamulah, yang pakai baju ungu jalur-jalur tu!” tepat jarinya menuding aku. “ada makwe belum?” tanya dia lagi.

“erm..aa..emm..” aku gagap nak jawap. Macam mana nak jawap ni. “ada belum?” tanya nya lagi. Satu dewan dan fokus pada aku. Soalan bahaya ni. Berpeluh juga kalau fikir lama-lama. “susah nak cakaplah encik,” aku bagi jawapan. Wuuuuuuu ada bunyi menganjing dari belakang. Siap ada ketawa-ketawa besar lagi. Lantak la aku peduli apa.

Macam dalam facebook tu, status personel ada macam-macam kan? Single, in a relationship, divorce macam-macam lagi la kan? Jadi aku ambil jalan selamat.

Salah ke aku jujur?

It’s complicated.

Monday, January 4, 2010

SAYANG SI KHATEEP












tiba-tiba aku rasa rindu dekat dia ni. cuti lepas, aku yang selalu mandikan dan bersihkan dia. beri makan ikan rebus pun aku jugak, tidur pun aku bawak sama. nama dia KHATEEP. sebab yang kutip dia kamil. adik aku. kamil yang kutip jadi KHATEEP la nama dia family aku bagi. aku dengan kamil siap dah bawa dia ni pergi klinik untuk dapatkan vitamin dan ubat apa yang patut. dari kurus kering dengan sakitnya, sekarang dah gumuk, montel dan kuat tido. pantang belai sikit, mesti lelap!

satu famili suka dengan khateep ni, dari abah, mak,kak long, syikin, kamil sampai putri semua tak ada masalah dengan dia ni. tambah pula sekarang tengah nakal, semua nak panjat, semua dia nak geledah. bila bosan suka gigit tangan orang. bila lapar ke nak buang air ke, pandai dia mengiau-ngiau dekat kita ni.

bila sunyi-sunyi macam sekarang ni, aku rindu sangat dia ni, rindu manja dia, rindu bau syampu bila sudah mandi, rindu bagi vitamin lepas dia makan. rindu nak bawak dia tidur sama. apalah yang dia buat kat rumah sekarang ni agaknya? dia ni lah banyak teman bila aku ada masalah dulu, bila aku sunyi dia nilah jadi teman. huh rasa nak nangis pulak.

angah rindu kat khateep la. huhuhu

AKU NAK CAKAP CUMA TIGA BENDA DALAM ENTRI TAHUN BAHARU INI. JANGAN SAMPAI AKU LEMPANG KAU.

1.satu
agak lewat untuk ucap selamat tahun baharu masehi 2010 untuk semua, tapi aku peduli apa, nak ucap selamat tahun baharu juga. semua orang mesti ada pasang azam untuk tahun baharu tiap kali tiap tahun baharu datang. semoga apa yang dihajatkan itu dapat dicapai. azam tahun baharu aku? rahsia! aku mulakan tahun baharu seperti tahun lepas juga. tak ada yang istimewa, sambut tahun baharu ditemani rasa kosong dan sunyi.

2.dua
merindui teman-teman seperguruan yang telah mula berkhidmat bertebaran dimuka bumi malaysia. brother akim, budi, eky, mus, abu, kak ain, kak anim dan ramai lagi nak aku tulis dekat sini. semoga menjadi cikgu yang baik dan sentiasa berada dalam lindungan tuhan.

3.tiga
merindui seseorang yang telah jauh meninggalkan aku. semoga jalan yang dipilihnya ini, merupakan jalan yang terbaik untuk dirinya dan hakikatnya; aku tak percaya jalan yang ini untuk diri aku. semoga selalu dalam rahmat tuhan.