Tuesday, January 24, 2012

SOALAN : STATUS

dah kahwin ke belum?

bila nak kahwin?

bila nak nikah?

bila lagi?

*****

ada soalan bertubi bertalu datang menyinggah mengenai penghijrahan status dan alam hubungan yang serius. bertali arus orang bertanya dalam pelbagai medium. ya, aku akui dalam umur yang sebegini sedikit tertekan dengan soalan-soalan berbentuk peribadi sebegitu.

ya, aku juga merancang untuk berumah tangga. namun, kehendak dan ketentuan Allah mengatasi semuanya. kita merancang, Allah juga sebaik-baik perancang. kecewa dalam perancangan dan itu biasa, dan kadang-kadang tersungkur atas khilaf kita sendiri buat kita sedar yang kita bukan sempurna serba serbi.

jangan ditanya soalan itu lagi. kerana, jawapan yang ikhlasnya bilamana aku lafazkan;


"aku terima nikahnya sifulanah binti sifulan dengan mas kahwin yang tersebut,"


Monday, January 23, 2012

TALAK

janah sepi pagi itu tanpa sebarang bunyi. lalu aku cuit butang-butangnya untuk menghibur aku, emak, abang ipar dan adik lelaki, kamil.

dan suara yang menghibur kala suasana sepi itu datangnya dari seorang penyanyi suara garau lemak dan memang antara penyanyi lelaki pujaan pop melayu. lagunya penuh sendu. liriknya berat berkisar cerita penyesalan terhadap ketidak-bertanggungjawaban seorang anak kepada ibunya. ada unsur ketuhanan juga dari bait-bait seni katanya.

"eh dia ni yang baru bercerai tu kan mak?" aku tanya mak dibelakang. "kalau dari kenyataan akhbar, dah cerai dah," balas mak ringkas. "baru lagi kan dia ni kahwin?" aku bertanya lagi. mak diam tak menjawab. "ya lah, kalau tak silap tak sampai tiga bulan dia baru kahwin," aku cuba mengingat fakta perihal perkahwinan penyanyi tadi.

suasana kembali sunyi. cuma janah masih bernyanyi, lagu penyanyi lelaki yang baru bercerai talak satu tadi. ulang bahagian korus dan sehingga tamat.

"nikah itu, matlamatnya cuma ajal yang menceraikan," kata mak ringkas. maksud mak cuma ajal yang memisahkan matlamat bernikah. aku gamam dengan satu ungkapan indah yang ringkas yang keluar dari hati seorang ibu, seorang perempuan. berat maknanya dan besar kupasannya.

aku kembali diam. membiarkan janah masih berlagu namun dalam benak aku masih memikirkan baris ayat mak tadi.

ya dalam maknanya.

Thursday, January 19, 2012

KADANG

kadang-kadang kita teruja untuk berkongsi sesuatu perkara dengan orang yang kita sayang. biarpun ada orang lain yang juga bakal teruja jika kita berkongsi perkara itu, namun rasa hati kuat mengatakan kita akan hanya berkongsi rasa ini dengan orang yang kita sayang dan bukan orang lain.

namun, kadang-kadang orang yang ingin kita kongsikan bersamanya suatu perkara gembira itu sendiri tidak pernah teruja untuk perkara sebegitu.

redha dan simpanlah dalam hati; tidak semua yang indah itu patut dikongsi bersama. ada masanya suatu yang indah itu patut dinikmati sendirian.

ya, dan itu yang sedang aku belajar.

untuk sendiri.

Tuesday, January 17, 2012

MELANKOLI

sebenarnya bila kita memutuskan untuk memijak ego, dan meletakkannya nun di aras paling bawah; telapak kaki itu suatu keadaan yang perlu kita fikirkan untuk beberapa ketika dengan rasional akal. meletakkan rasa rindu jauh lebih tinggi dari aras yang sepatutnya dengan membelakangkan rasa ego atau lebih tepat memadam semua api-api bersifat pentingkan diri hanya untuk menyejukkan hati yang dalam kerinduan sebenarnya (SEBENARNYA) kita sedang mempertaruhkan perasaan atas gelanggang perjudian rasa. yang kita perjudikan nasib bakal menimpa hati kita sendiri. adakah kesudahannya nanti akan terjawab dengan rindu kita terbalas, atau rasa rindu terbuang sia-sia atau ditipu rasa hati yang berjaya buatkan kita mencairkan ego yang selalunya kental.




"ku ingin kau rasakan pahitnya terbuang sia-sia" - cokelat.




serius, bila rindu buat kita tak tahu malu dan mengaku; "actually, i do missed you" dan cuma balasan yang tidak seperti yang diharapkan yang diterima, percayalah rasa pahitnya terbuang itu akan memenuhi ruang-ruang hati.

dan bila mana semua itu sentiasa bermain-main dibenak, akan ada suatu rasa seolah-olah sedang berdiri disuatu tempat tinggi sambil melihat jauh kebawah.

sambil dalam hati merengus;

"bilalah semua ini akan jatuh terhempas dan semuanya akan ranap berderai. semuanya. ya hati, perasaan, rasa rindu, ego ya semuanya."

Monday, January 16, 2012

DAYUS

kita orang lelaki ni bila dah beristeri, jangan tunjukkan kita ni dayus sangat bila kita perkotak katikan maruah seorang isteri. jika sudah tiada langsung jalan terbaik untuk menyelamatkan hubungan kekeluargaan dan pilihan terakhirnya penceraian, maka lakukan dengan cara terhormat. hormat pada darjat seorang isteri, perempuan yang seharusnya dilindungi.

pulangkan semula isteri yang ingin diceraikan dengan sebaik-baik penghormatan. macam mana kau ambil dia dari keluarganya dahulu, pulangkan dengan cara yang paling terhormat. bagaimana suatu ketika dahulu kau sanggup bergolok gadai demi seorang perempuan, bagaimana satu ketika dahulu kau bertumbuk berbunuhan demi seorang perempuan, begitu juga sebaliknya kau memulangkan dia kepada keluarganya.

dan, jangan peralatkan hukum hakam agama demi kepuasan serakah kau sendiri. kau bukan sahaja menganiaya isteri kau, kau merosakkan keturunan kau sendiri.

jadi lelaki, bukan jadi jantan.

Thursday, January 12, 2012

Sunday, January 8, 2012

CEMUIH

yang sebenarnya, lama sangat tidak ada sebarang update dari blog ini alasanya cuma satu klise yang biasa kau baca dari blog-blog pojok yang tidak ada sangat isi ceritanya. alasan meletakkan kesibukan adalah satu alasan biasa.

MALAS dan tumpul idea sebenar benar alasan sebenarnya.

ouh lupa, disember lepas allah telah pinjamkan sedikit bahagia, dan aku bersyukur tentangnya.

nanti dah rajin aku tulis semula ya.