Sunday, February 10, 2013

KERJA, KAHWIN DAN SETAN DALAM DIRI

cuti tahun baru cina bermula. alhamdulillah seminggu ini bakal diisi dengan benda bermanfaat rancangannya dan sebagai permulaannya hari ini (ahad) memenuhi undangan perkahwinan anak jiran belakang rumah mak abah ni. tinggal dalam kelompok satu blok, duduk di tanah rancangan felda ni memang seronok sebab serba serbi masih dibuat secara gotong royong, walau anak muda kian menjauh meninggalkan felda bumi permata ini.

biasalah bila jarang balik kampung dan hadir pada kenduri kendara sebegini, ramai yang bertegur sapa. lama tak jumpa panjang juga cerita. di negeri sembilan, jika anda diberikan bunga duit dan tuala good morning, tandanya anda 'orang pangkal' atau orang tuan rumah atau sesetengah tempat digelar kendarat atau penanggah yang bertungkus lumus menjayakan kenduri pada hari berkenaan. ya aku awal-awal mak dah ketipikan sekuntum bunga duit dan pesan mak "tolong-tolong sikit apa yang patut, jangan curi tulang,". aku anggukkan saja.

dua cerita yang menjadi tajuk utama bila aku bertegur dengan pakcik makcik jiran sekampung waktu waktu kenduri begini. pertama, perihal perkahwinan dan kedua perihal penampilan. jarang jumpa memang panjang cerita! kenduri kahwin ni aku pilih untuk bertugas di departmen air. siap-siap tuangkan air untuk tetamu dan kemas gelas gelas yang sudah dipakai.

"cuti lama jang?" tanya seorang pakcik. oh lupa di kampung aku digelar Ujang. "ada dalam seminggu cik, hari jumaat aritu sampai," jawab aku ringkas. "kerja kat mana sekarang ni jang?," berbual makin rancak. "saya di skudai sekarang pakcik, 3 tahun dah kerja kat sana." berbalas bual. "tulah, untunglah kerja cikgu. anak pakcik yang baru habis belajar ijazah tu tak dapat kerja lagi, sekarang kerja jual kereta dekat bahau. kalau tak kerja hutang belajar macam mana nak bayar kan," sambungnya lagi. "insya allah, ada rezekinya tu nanti pakcik," aku jawab ringkas. tak tahu apa motif soalan pakcik ni. ingat kerja gomen ni sedap sangat ke? jagi besar sangat ke kerja gomen ni? atau nak aku patahkan hujah dia dengan hujah-hujah politik? detik setan dalam diri. aku lemparkan senyuman dan teruskan lap gelas.

"bila nak kahwin jang?," tanya sorang lagi pakcik. "insyallah bulan 6 nanti pakcik," aku jawab serius. "bulan 6 ni?" jegil matanya persis tak percaya. "tahun tak tahu bila cik, hahaha," aku seloroh. "kalau dah ada jangan tunggu lama-lama. apa nak lagi. jangan tak jadi." katanya lagi. aku balas dengan senyuman meleret. jodoh tu aturan Allah, kalau bercinta bagai nak rak gebang sana sini akhirnya tak jadi, macam mana? mana nak sorok muka? Anak pakcik dengan pakwe dia yang bergambar laga pipi dekat facebook bila nak bernikah? tanya setan dalam diri aku lagi. aku zahirkan dengan senyuman lagi.

"anak pakcik sekarang kerja dekat luar negara, alhamdullillah sebulan dia bagi pakcik rm3000. ni nanti bulan 3 dia nak hantar pakcik pergi umrah. kau kerja apa sekarang jang?," tanya seorang pakcik berkopiah hisap rokok elektronik. mungkin anak kerja luar negara belikan agaknya. "saya kerja makan gaji dengan gomen je cik. alhamdulillah murah rezeki anak acik," jawab aku ringkas. rezeki masing-masing lah, eh anak pakcik lelaki kerja luar negeri mana? tak datang tolong kenduri jiran sendiri ke? setan dalam diri gua bertanya lagi. gua masih zahirkan pertanyaan itu dalam bentuk senyuman.

"wahh jang, lama tak jumpa. duduk mana sekarang?," seorang pengurus ladang menurut kata emaknya yang sibuk menceritakan perihal anaknya yang seorang itu kepada  mak aku. "aku kerja dekat skudai, ni balik cuti seminggu." jawab aku lagi. "wah sekarang dah berjambang bagai, dah macam bangla ke taliban ni," nada sinis sambil cuba meraba jambang aku. "sunnah nabi bang, jambang kemas tak apa, tak serabai," aku jawab sambil tepis-tepis tangan miang pengurus ladang tadi. setan dalam diri berkata lagi; aku bela jambang bukan bela bulu pubis, bukan aku mintak duit kau hantar jambang ni servis tiap-tiap bulan, ada aku mintak kau tolong trim jambang ni tiap pagi sinin dengan jumaat, ada? bulu aku, aku jaga, bulu kau kemaskan sendiri! aku kembali senyum.

banyak lagi kisah siri berbual perihal setan, pakcik dan kenduri kahwin ni. tapi inilah tajuk utama yang buat aku terkemam-kemam bibir tahan setan dalam diri masa tuangkan air untuk tetamu majlis tadi. dalam hati setan bakar-bakar balik terus dan update blog. tapi waras akal aku menyatakan jika aku balik, mana aku letak air muka mak abah aku. ada anak jantan bujang, tapi kenduri jiran tak tunjuk muka tak buat kerja atau muncul cuma bila waktu makan? dan realitinya banyak lagi cerita menarik boleh dikongsi dan diborak panjang lebar selain perihal belajar, kerja, kahwin dan politik yang pada aku secara peribadinya mengundang jalan malap untuk berbual rancak. serius, isu tepu!

2 comments:

Iffah Hidayati said...

Suka aku dengan entri ni.penuh erti..:)

SI MILLY'S said...

Lepaskan setan pada blog la ni? Sabar ye :)