Friday, June 21, 2013

BICARA ABAH

Cuti sekejap aku manfaatkan untuk pulang ke kampung halaman untuk tujuan pokoknya berbincang perihal yang serius dengan keluarga. Alhamdulillah ada kata putus diambil dan sepakat menunggu langkah seterusnya. Bila orang tua tua berkata-kata lebih baik pasang telinga dengan cermat ambil betul betul mana sendi, mana inti mana yang boleh disuai pakai dalam kehidupan. masin garam mereka dulu rasa, pahit peria awal lagi mereka rasa manis madu lidah mereka awal dah merasa. tua - padanlah dengan perbidalan melayu lama. makin tua kelapa makin banyak santannya. sebolehnya aku cuba untuk memperoleh secangkir santan tua berlemak pekat dari abah malam ini.

Bermula dari perihal amalan dalam kehidupan hinggalah ke tahap yang serius menjurus hal hal kerohanian yang abah sentuh. Aku cukup pasang telinga kalau abah berbual sebegini. Kalau abah nak beri sesuatu dalam lisannya kadang-kadang tak secara langsung. Tinggi kiasnya mendalam tersuratnya. perumpamaannya mudah. contohnya ringkas. ruang lingkup bicaranya pun sekeliling kita. pendek kata berbicara dengan abah memang senang bila dikupasnya sekali bersama contoh. tak susah nak hadam tak payah nak mencerna.

Malam makin larut. Semahunya aku cuba panjang lebarkan tinta lisan abah berbicara. Ada saja yang aku persoalkan. Ada saja yang aku minta pendapatnya. Ada cerita yang pernah abah ceritakan sengaja aku buat seperti tidak pernah kedengaran. Hanya untuk mahukan celoteh abah larut bersama kelamnya malam melewat. selang seli ada cerita kecindan disambut kekekan kecil kami. terkadang ada juga yang cukup membuatkan bulu roma berdiri dan juga ada yang seumpama paku tajam abah tanamkan dalam perasaan. cukup serba serbi dalam bicaranya.

kemuncak perberbualan  mata makin layu, perbincangan juga menjadi makin longgar kian tenang bersama malam dan grafnya kembali menurun tidak seperti awal-awal tadi. cukuplah apa yang abah beri malam jauh lebih bermakna sudah ini. sebelum akhirnya abah sempat berpesan sesuatu. dalam maknanya. tinggi kiasnya. setuju rasionalnya. kata abah;

"Jangan merendah-rendahkan orang yang berbuat kebaikan dan berpesan kepada kebaikan, walau akhlaknya tak seindah perbuatan. Boleh jadi, dia lebih mulia dari kita ini yang perasan sentiasa berbuat kebaikan,"


abah bahasakan aku ke apa ni?

Saturday, June 15, 2013

MENCAPUBMUR

kalau suatu masa bergelar murid sekolah dahulu aku sentiasa terdetik untuk menjadi yang lain dari kebiasaannya. sentiasa ingin menjadi ganjil dari yang biasa-biasa. selalu meninginkan yang istimewa dari yang lain-lainnya. mencari perhatian barangkali paling sesuai dalam ungkapan frasa yang lebih tepat. menjadi perhatian bila mana berbeza dari pelbagai segi. bukan bersikap anti-sosial tapi lebih kepada perhatian sosial yang lebih. istilah kejinya mencapub (mencari publisiti)

ssalah satunya yang selalu aku suarakan pada mak dan abah adalah bertukar sekolah. kalau masa sekolah dahulu, selalu yang menjadi perhatian adalah murid yang baru berpindah ke sekolah dari sekolah lamanya. menyesuaikan diri pada persekitaran baharu sebenarnya suatu yang agak janggal namun, pada perspektif aku ketika itu ianya suatu platform yang boleh dikira sebagai batu loncatan untuk mencari publisiti. lucu tapi itulah yang selalu aku utarakan pada mak dan abah.

selalunya murid baharu sering jadi perhatian. serba serbi orang nak tahu. dari segala hal jadi perhatian. ramai kawan baru cuba nak bina hubungan baik, nak kenal-kenal. perhatian khusus bila waktu belajar. murid baru akan bangun dan diminta perkenalkan diri. bab tarikan berlainan jantina pun suatu bonus. haha sungguh! pasti ada yang minat dan beri surat layang intipatinya mahu berkenalan! ini realiti. pernah ada rakan sekelas juga budak baru yang berkongsi meja dengan aku.

mungkin semuanya mampu bertahan dalam bulan bulan awal perpindahan sekolah tersebut dan ianya makin berkurang dari hari ke hari. tapi yang akan kekalnya gelaran budak baru tu. "oohh Razip budak yang baru pindah tu ke?" kan? masih juga lekat gelaran tu!

dan tiap kali hujung tahun persekolahan aku akan selalu bertanya pada mak dan abah.
"kalau tahun depan, tukar sekolah amacam, mak?"

dan tiap kali itulah mak akan jawab;
"banyak ringgit den nak tukar kau keluar masuk sekolah?"

dan setiap kalinya mendengar jawapan mak. aku akan selalu pasrah yang aku tak akan jadi murid yang baru bertukar dari sekolah lama. namun angan -angan untuk jadi budak baru yang sentiasa menjadi perhatian tetap utuh dan kental dalam kepala aku.