Thursday, December 24, 2009

BILA DAH KESEDAPAN, AKU LUPA TEKAN BUTANG KE BAWAH.

baru-baru ini, berpakat bersama tujuh orang teman sepersekolah-menengah-an, bersama-sama pergi makan angin ke melaka. asalnya cuma cadangan untuk membuat aktiviti tahunan, sebagai kesinambungan trip pertama tahun lepas di port dickson. cuma kali ini jumlah anggota yang sekepala untuk turut serta ke melaka cuma bertujuh. kurang, tak seperti tahun lepas. trip yang cuma 2 hari 1 malam berjalan seperti yang dirancangkan. untuk gambaran lebih lanjut boleh la tengok gambar menarik trip kali ini dalm facebook aku.

**

perancangan sebelah malam berjalan seperti yang dirancang. bertolak awal dari hotel budget Hotel Bachang menuju ke Umbai. matlamat perjalanan memang jelas, memang satu tekad; menikmati ikan bakar yang popular di mulut-mulut penggemar makanan. mencari spot menarik untuk menikmati makan malam dengan jayanya. berlatar belakang muara sungai, lampu malap dengan angin malam yang nyaman. ikan dipilih, menu terbaik ditempah, perut keroncong sengaja dibiarkan begendang.

seperti yang ditempah, semua menu terhidang atas meja beralas kain merah itu. harga seratus lebih dah tak kesah! baik pak ustaz, cikgu, abang jurutera paip, sampailah abang jual jamu semua anggota trip memang tak sabar. baca doa makan secara jemaah dan sesi mengisi perut berlangsung rancak. tiada hilai tawa lagi, berbual pun tak tahu apa buah butirnya. ada butir-butir nasi melekat di hujung bibir lahap sang anggota trip kali ini. sebutir beras tu ibarat setitik peluh petani.semua menikmati nikmat makanan anugerah yang maha kaya. burp...alhamdulillah.

usai makan, walaupun keadaan meja masih berselerak dengan pinggan mangkuk, tulang dan sisa makanan, aku duduk bersandar. seorang bakal guru kemahiran hidup menyalakan rokok dihujung bibir. dia tersenyum puas, puas dengan makanan dalam perutnya separai buncit itu. aku bersandar di kerusi. pandangan aku layangkan pada bot-bot nelayan ditengah laut gelap. ada cahya lampu berbalam-balam. nyaman malam ini. perlahan aku keluarkan telefon bimbit dari poket seluar coduroy coklat. dengan laju aku tekan butang-butang aksara hufur roman menulis mesej teks.

messaging.
write new.
text message.

"sayang, sedap la makan ikan bakar dekat sini. siakap masam manis pun boleh tahan. nanti kita keluar makan macam ni nak? teringin pula nak makan sama macam ni. asyik makan dekat restoran multinasional je. bosan. sesekali tukar angin pula. amacam?". begitu lebih kurang isi mesej yang terpapar pada telefon aku.

continue.
send to.
contacts look up.
select.
send.

***

pulang dari melaka tempoh hari, aku berkongsi keseronokan dengan keluarga. cerita pergi sana-pergi sini, beli itu-beli ini. makan itu makan ini. sampai cerita makan, abah menyampuk. "makan ikan bakar dengan siakap masam manis kan? sedap kan? nanti boleh kita pergi sama" kata abah sambil tersenyum. pelik! mana abah tahu semua ni?

aku capai telefon tengok semula mesj di item dihantar. demmit! aku hantar mesej dekat abah! bukan dekat sayang! demm. malu tak tahu nak sorok celah mana. aku minta diri masuk bilik. abah senyum lain macam, sindir la tu!

Wednesday, December 23, 2009

ISNIN 13 TAHUN LALU. (siri 1)

Pagi itu pagi Isnin. Hujan sekejap sebelah pagi tak menghalang murid-murid untuk meneruskan rutin harian setelah dua hari diberi cuti am Sabtu dan Ahad. Hari baru untuk minggu baru minggu persekolahan. Ada yang masih berlari-lari di kaki lima kelas. Ada yang sedang menyapu lantai bertugas seperti yang tertulis di jadual bertugas. Ada yang bersembang cerita hujung minggu lepas, ada yang melepak di kantin menjamah kuih. Ada yang baru tiba melangkah masuk ke kawasan sekolah.

Aku seperti biasa bersama tujuh lapan orang rakan pasti bermain galah panjang. Atas dataran perhimpunan yang diberi nama Medan Wawasan itu ada enam petak segi empat yang dicat putih mejadi permaianan rutin murid-murid Sekolah Kebangsaan Serting Felda. Keadaan permukaan bitumen tar yang berbatu halus serta sedikit basah dek hujan pagi tadi tidak langsung mematahkan semangat teman-teman sebaya untuk bermain.

Loceng perhimpunan pagi memecah suasana sekolah. semuanya berpusu menuju Medan Wawasan. Pengawas sibuk menyusun kerusi untuk guru-guru. AJK siaraya memasang pembesar suara serta mikrofon serta lagu-lagu patriotik sebelum perhimpunan bermula. Murid-murid beratur mengikut kelas masing-masing. Zaaba, Aminudin Baki, Ibnu Sina, Al Ghazali, Munshi Abdullah dan Ungku Aziz. Cantik susunan kelas dari tahun satu hingga enam. Pengawas menaikan bendera sudah bersedia di tiang. Guru-guru telah duduk dikerusi yang tersedia. Guru besar, guru penolong kanan sudah siap sedia. Pengawas bertugas memulakan perhimpunan mingguan.

Pagi itu semuanya berjalan seperti isnin-isnin yang lepas, ucapan guru bertugas, penyampaian hadiah kelas terbersih dan ucapan guru besar. Cuma minggu ini tiada persembahan murid. mungkin guru besar ingin berucap lama. “sekarang majlis menjemput puan guru besar Puan Fatimah bt Sihi untuk menyampaikan ucapan,” kata pengacara majlis. Semua bertepuk dan kembali senyap. Memberikan tumpuan ucapan guru besar.

Aku tidak ingat apa buah butir ucapan guru besar. Duduk di belakang barisan kelas dalam perhimpunan pagi suatu yang membosankan. Tambah tiada persembahan murid. aku pasti kumpul batu-batu kecil dan lempar pada budak lain. Baling batu sembunyi tangan. Begitu juga yang lain. Tiada tumpuan langsung. Sebelah kiri sekolah, jalan utama yang sibuk dengan kenderaan waktu pagi. Jauh kelihatan sebuah lori tanker tanpa ekor berhenti dihadapan pintu pagar sekolah. ramai yang memberi tumpuan pada kepala lori tanker dari ucapan guru besar.

Seorang wanita bertubuh gempal mengendong beg sekolah anaknya menuju pintu pagar. Di belakangnya kelihatan lelaki berumur awal 40-an rambut ketak sedang mengheret seperti menarik sesuatu yang melawan. Guru besar masih terus bersemangat berucap. “cepatlah, jangan nak mengada-ngada!” jerit lelaki tadi seraya membuatkan perhatian sekolah seluruhnya tertumpu ke pagar sekolah. guru besar masih berucap. “tak mahu sekolah, tak mahu! Waaaaaaaaaaa” raung seorang budak yang diheret lelaki tadi. Tubuhnya sengaja diberatkan kebumi, untuk menyukarkan ayahnya mengheret ke dalam kawasan sekolah. raung jerit semakin kuat. Guru besar semakin terganggu ucapan dek kerana perhatian telah teralih.

“apa nak jadi kalau tak mahu sekolah hah?” jerit si ayah. Ibunya dari tadi tersipu malu dek telatah anak yang jadi agenda utama perhimpunan. PANGGG. Hinggap penampar sabar ayah yang tercabar ke pipi anak itu. Teriak anak kecik semakin kuat. PANG. PANG. PANG. Tiga tamparan susulan hinggap ke pipi putih suci itu. Berbekas merah kelihatan muka budak tadi. Perhimpunan isnin terganggu dengan drama swasta depan pintu pagar sekolah. tiada lagi suara guru besar, yang ada Cuma marah bengis si ayah kepada anak yang tidak mahu ke sekolah. guru perempuan ada yang sudah mula berbisik-bisik. Murid-murid mula berkata-kata sesame rakan. Aksi ayah melempang anaknya itu mencetus suasana yang tegang.

Sang anak yang sudah biru dek mengangis tanpa suara lagi, menanggung sakit serta masih enggan untuk ke sekolah. kini terduduk di tanah. Tangan kanannya masih digenggam erat oleh tangan ayah yang kasar. Sabar sang ayah mula hilang. Lantas dibuka kepala tali pinggang lalu dilurut keluar dari seluar jeans lusuh itu. Tangannya erat menggenggam tali pinggang. Satu adegan kasar diramal berlaku. Ada dua tiga orang guru kelihatan turun dari pentas. Dilayang oleh sang ayah tali pinggang, tinggi! Satu lepasan kuat libasan bakal hinggap ke belakang anak yang meraung tadi jangkaku.

BERSAMBUNG...

Thursday, December 10, 2009

NIKMAT BILA DIA TARIK, KITA LAYAN SAMPAI DIA MENGGELEPAR! PUAS.

berhabuk. ada debu-debu malas melekat pada paparan blog aku. sudah seminggu hampir aku tidak menjengah kemari. biasalah, bila cuti bermula banyak juga aktiviti sampingan buat isi masa lompong di rumah. kalau boleh disukat nilai atau digit malas dalam suasana cuti sekarang ni, rasanya keberadaan malas itu berada pada tahap yang paling maksimal. cuti jadi malas!

idea musim cuti pun rasanya tumpul. tak tajam mencucuk. tak mencurah macam air hujan malam buatkan tidur terlajak sampai pagi gajah. faktor internet juga barangkali pemangkin rasa malas untuk selalu unpdate blog.

cuti-cuti sekarang aku semakin rajin pergi memancing. tak kira waktu. tapi yang jadi kegilaan sekarang memancing waktu malam. mula lepas isya' bawak ke awal pagi cecah ke pukul 2. NIKMAT BILA DIA TARIK, KITA LAYAN SAMPAI DIA MENGGELEPAR! PUAS. memang gila sebab mak akan selalu bising bila aku berembun. macam biasa dengan lembut aku cakap dekat mak. "angah bukan pergi kacau anak dara orang ke, merempit ke, buat kerja tak elok. pergi memancing ikan je mak." mak tak akan jadi marah kalau aku pulang bawa hasil ikan tilapia ke keli ke dalam 2 kilo lebih. paling tidak jimat duit tak payah beli lauk. gambar tak sempat nak update. nantilah aku letak ok.

* sedang gila melayan Bridge To Solace sekarang. apa barang dengar Bring Me The Horizon bhahaha.. ha satu lagi tengah layan socialcrime. siot jepun punya crust pun layan. memang tengah trend dark-crust-metal sekarang ni.

ok jumpa lagi nanti.

Friday, December 4, 2009

AKU RABA KEPALA, AKU RASA PARUT LAMA. 16 TAHUN SUDAH. HARI INI AKU DATANG HARI BAHGIANYA.

Aku masih ingat semuanya. Walau sudah 16 tahun berlalu. Cukup jangka masa yang lama untuk aku simpan parut ini. aku tak tahu dia kelas cikgu siapa. Yang aku tahu semuanya bermula waktu rehat. Senggang masa antara sesi pembelajaran pertama dipenuhi dengan menghabiskan makanan yang disediakan. Menu bihun goreng masakan mak kepada Nassir (LanggarXLari) memang sedap. Aku paling depan sewatu berbaris untuk dapatkan makanan. Capai pinggan berisi bihun goreng terus duduk sudut meja hijau tempat samseng-samseng tadika Felda Serting 2 duduk.

Usai makan dengan berulam air milo suam, sambil berlari aku capai potongan tembikai kuning tanpa biji atas meja. Berluru keluar kelas sarung kasut tanpa tali. Mulut banjir dengan jus kunyahan tembikai kuning. Manis. Lagi manis kalau jadi orang paling awal main bola. Siapa lambat tak dapat geng dan tak dapat main. Aku, roshaidi mohktar, faisal samsuri, izwan omar, shafie aris, sahibullah sulaiman, fuarudin razali dan shafiqul reza osmera satu pasukan seperti biasa. Orang gelar kami samseng tadika. Tapi kami tak layan cakap-cakap kosong orang sekeliling. Semua cemburu dengan kekuatan geng bolasepak kami. Sebab itu banyak kes gaduh kalah main bola dikaitkan dengan kumpulan kami, padahal kami bermain secara fair-play dan terima kekalahan seadaanya. Hero memang banyak musuh.

Agak macam dah menang banyak, aku keluar, bagi masuk fauzi Mansur main pula. Untung-untung balik tadika nanti boleh tumpang jip Felda warna oren ayah dia. Jauh aku perhatikan ada budak perempuan sorang-sorang sedang main buaian. Semacam dia ni tak ada kawan sangat. Macam tersisih. Jadi sebagai seorang abang kawasan ranting kelas cikgu misah yang ambil berat tentang kawasan, aku datang dekati budak perempuan itu. Dari tegur-tegur tanya khabar, sampai dia mula selesa dengan keberadaan aku disitu. Biasalah abang kawasan mesti public relation kena baik.

Posisi berdiri depan buaian bertukar. Aku duduk sebelah budak perempuan rambut keriting ini. mesra, dari senyap tanpa kata kini sudah pandai bergurau pula. Peluang baik! lalu aku gerakkan kaki untuk mula membuai buaian yang static dari tadi. Perlahan-lahan buaian berayun. Makin lama makin laju. Kadang-kadang sampai perut jadi kecut dibuatnya. Bait lagu sampai cucur atap, kini semacam terzahir, cumanya tiada cucur atap sahaja. Seolah-oleh berada diatas angin! Saat begini memang indah.

Sedang tinggi ayunan dibuaian, kedudukan aku yang kurang kemas buatkan aku tidak lagi terduduk diatas bangku buaian setebal empat inci kurang lebih, buatan dari kayuan jenis keras. Rantai besi besar sebagai tempat ayunnya. Mata berpinar aku sekarang sudah terlentang diatas tanah akibat terlepas dari kedudukan bangku buaian sewaktu berayun. Belakang baju kotak-kotak merah tadika sudah kotor dengan warna tanah. Dada senak rasa terhempas masih sakit. Aku bingkas bangun dengan keadaan masih terduduk. Pandang hadapan, budak perempuan tadi tak ada kelibat pun bersama buaian.

KUNGGGGG…

Bunyian hentakan semacam dalam siri komik alam pewira memerjah kepala dari belakang. Aku toleh belakang, budak perempuan bersama buai tadi betul betul berada diatas kepala aku. dia masih seperti tergamam. duduknya masih kemas diatas bangku buaian. Tangannya kejap memegang rantai besi buaian. Kebas, lama-lama jadi pedih. Aku raba kepala, sebelah kiri. Ada semacam cecair panas. Ceh budak ni kencing kepala aku? Detik hati sendiri. Makin lama makin aku rasa kepala aku basah!

Aku lihat tangan yang menekup kepala yang terhantuk kuat buaian kayu keras tadi. Merah pekat cecair yang mambasahi kepala. DARAH! Budak perempuan tadi menjerit kuat. Semua murid tadika dari tadi memanfaatkan rehat dengan bermain sekitar tadika terkejut. Semuanya meluru kearah buaian. Semuanya gempar lihat kepala ketua samseng tadika berlumuran darah. Semuanya takut nak dekat. Darah mengalir macam buka pili paip air.

Dengan pantas cikgu misah berlari pantas kearah aku. Anaknya dayang munirah yang bermata coklat juga turut menuruti ibunya. Aku tahu dayang suka pada aku, tapi atas hasutan kawan perempuan yang lain yang menggelar aku samseng tadika, dayang batalkan hasrat hatinya yang luhur itu. Dayang pula pandai baca syair si rusa! Cikgu min dan cikgu siti juga ada. Cikgu misah balut kepala aku dengan kain. Terus aku didukung menaiki motosikal Yamaha cdi80 warna merahnya itu.

Di klinik Dr Ishak & Abdullah, kepala aku dijahit. Kata doktor kena lapan jahitan. Siap dibalut dan diberi ubat aku dibenarkan pulang. Aku dihantar pulang dan Cikgu misah ceritakan semunya pada mak. Aku diberi cuti seminggu. Semenjak itu aku lama tak dengar cerita pasal budak perempuan yang buat kepala aku kena lapan jahitan.

***

Sedang aku tulis entri ini, dia sudah selamat dinikahkan dengan pasangannya malam tadi. Dah kawin pun dia sekarang. Sebenarnya entri ni khas aku tujukan buat Faradila Bt Ahmad, kawan lama zaman tadika, sekolah agama petang dengan sekolah menengah tingkatan 1 sampai 3. Tingkatan 4 dia pindah sekolah teknik ampangan, seremban. Aku datang makan nasi minyak dia hari ini.

Khas untuk Faradila dan Jefri:

SELAMAT PENGANTIN BARU, SEMOGA JODOH BERKELAN SAMPAI AKHIR HAYAT. CEPAT-CEPAT DAPAT ANAK, MURAH REZEKI DAN BAHAGIA DUNIA AKHIRAT.

P/s: awek sebelah rumah faradila ni dulu pun ada cerita dengan gua. Lain entri gua cerita. Ni cerita lepas spm!

Tuesday, December 1, 2009

SELAMAT HARI ULANG TAHUN

Khas buat ayahanda tercinta, encik Abdul Razak bin Md Isa;

yang terlah memberi peluang kepada aku untuk melihat dunia tuhan maha kaya ini,
yang telah mengazankan ketika belumpun mata aku celik,
yang pernah mendukung aku hingga lena,
yang menyuap makan ke mulut,
yang menimangku manja,
yang mengajar aku bertatih jalan jatuh,
yang melepaskan aku berlari,
yang membelikan aku basikal roda tiga,
yang mengajar aku mengenal agama,
yang memberi makan pakai sempurna,
memberikan aku pendidikan,
memberiku duit poket,
yang mengajarku menunggang motosikal,
menemani aku ketika berkhatan,
yang membantu ketika aku buntu,
yang menasihat ketika aku keliru,
yang telah berkorban semahu.

dan terlalu banyak lagi jasamu untuk ditulis dalam entri ini.

selamat hari lahir buat abah.
angah sayang abah.