Saturday, July 30, 2011

ALHAMDULILLAH

terima kasih tuhan atas rahmat kurniaanmu. atas hari hari bahagia. atas kuntum-kuntum rasa cinta membenih bercambah mekar mewangi kepada hamba-hamba mu. terima kasih tuhan atas kurniaan perasaan sedih dan gembira yang nyata istimewa pada hamba-hambamu. terima kasih tuhan atas kurniaan hikmah disebalik tiap kejadian yang ditakdirkan. terima kasih tuhan atas galang ganti hati yang pernah hancur remuk dahulu. kini perca perca hati yang menjadi cebis-cebis halus makin dijalin menjadi hamparan indah. terima kasih tuhan, moga hamparan cita ini terzahir indahnya.

terima kasih untuk segala nikmat kurnianmu tuhan.

alhamdulillah.

Tuesday, July 26, 2011

YANG MENJAGA KITA

usai bersalaman dengan tuan rumah, aku bersama keluarga abang shidi berbondong-bondong menuju ke keretanya. sambil berbual sanai tentang enak lauk kenduri langkah dihayun deras. mahu sampai rumah awal kata abang shidi, ada highlight sepak takraw piala dunia.

aku duduk di hadapan memangku anak abang shidi yang kecil, sofea. di belakang, ada kak nor, isteri abang shidi, anak sulungnya dan ibu mertua abang shidi. kereta waja meluncur laju meninggalkan tampoi menuju pulai dalam gelap malam itu.

anak sulung abang shidi kelihata muncung sepanjang perjalanan. sesekali mendengar rungutannya akibat turut disuruh pulang bersama. dia sebenarnya enggan pulang kerana mahu tinggal di rumah kenduri bersama-sama sepupu sepapat yang lain yang ramai tinggal disana. jika tidak kerana kem motivasi untuk calon UPSR sepertinya, tentu abang shidi dan isteri membenarkan dia untuk tinggal disitu.

si anak dari tadi merungut-rungut. sesekali memberontak. semua nasihat dijawabnya dengan hentakan kaki dan muncung terjuih panjang. abang shidi sesekali merenung tepat mata anaknya dibelakang. jelas ada rasa marah mula terbit dek karenah anak sulungnya itu.

"along, jangan macam ni. motivasi tu penting. tambah pulak dah dekat dengan periksa," kata kak nor memujuk anaknya.

"kau tengok abang yang uruskan kenduri tadi tu, dia yatim piatu. sorang-sorang dekat sini. tak siapa jaga dia, mana makcik dia, mana pakcik dia? tak ada. macam mana dia hidup? tahu apa yang jaga dia? ILMU yang jaga dia! ILMU! kalau ilmu kau pun entah kemana, nanti apa along nak jadi? bagitahu ibu, apa along nak jadi nak kalau kita tak ada ilmu?," sedih nada kak nor menasihati anak lelaki sulungnya itu.

sunyi.

sepanjang perjalanan semuanya membisu. terasa jauh perjalanan malam itu. jauh disudut hati aku terkesan dengan kata-kata kak nor. betapa ilmu penting dalam hidup kita.

analoginya hebat, betul-betul terkesan pada jiwa aku.

Monday, July 25, 2011

DEDIKASI

terima kasih untuk hadiah hujung minggu yang indah beberapa minggu yang berlalu. mungkin sebuah dedikasi lewat yang lama tersimpan tapi ikhlas dari hati ianya sebuah penghargaan paling jujur untuk semua itu. jarak cuma angka. jasad cuma rupa fizik, namun ruh dan jiwa yang bahagia tidak dapat selindung dan dibendung bukan?

terima kasih untuk aksi tunjal kepala spontan. terima kasih untuk minuman blackberi dan nasi putih lauk ikan keli dan gulai lemak. terima kasih aksi robotik yang fokus. terima kasih juga untuk fiksyen sains kuasa magis yang bosan dan berbual panjang. terima kasih untuk panaroma kota sejarah (sesat sebenarnya) dan terima kasih untuk lokasi penginapan. terima kasih untuk perjalanan jauh yang spontan

maaf kerana tidak mempunyai daya tahan penyakit yang tinggi. maaf kerana keadaan kesihatan yang membataskan pergerakan. maaf untuk virus-virus berterbangan. maaf juga kerana kerisauan. oh maaf juga kerana tercalar. maaf juga kerana tidak menemani sepanjang jalan pulang. maaf kerana tiada disana menjadi penenang.

sesungguhnya terima kasih untuk momen-momen yang tidak ternilai dengan harga wang. tidak meletak apa-apa harapan seperti yang dijanjikan, cumanya janganlah ini yang terakhir kali. terima kasih. faham tak ada yang tersirat?

TERIMA

KASIH.


vivavivian

Thursday, July 21, 2011

VIVIAN, AKU RINDU!



Mengurangkan kebergantungan itu cuma adalah frasa escapisme atau secara jujurnya pada aku itu adalah rasa hati sendiri yang kau bohongi. menidakkan rasa rindu yang pada jangkaanku sudah berbunga-bunga.

jangan terus hipokrasi. berhenti menipu diri kita sendiri. mengapa mahu menjauh padahal dalam hati itu rasa itu merentap-rentap sanubari sendiri bukan? mengapa mengakhiri bila ia baru sahaja mula mengorak. jangan cantas cambah-cambah baharu yang mahu tumbuh, kerna kita tidak tahu apa yang bakal tumbuh itu suatu yang lebih indah dari yang sebelum-sebelumnya.

kita punyai hari-hari yang bahagia kenapa mahu bunuh rasa yang membenih dari hari-hari bahagia?

konfrontasi cuma lebih merumitkan. ego juga seperti api. dan konfrontasi adalah kerosin.

aku mohon cahaya untuk menerang bukan api yang membakar.

aku mohon.

aku mohon.

aku rindu.

Wednesday, July 20, 2011

HUJAN REMBANG SENJA

usai riadah petang seperti hari-hari kebiasaan, aku pulang dengan harini aku perlu menggalas pulang jaring dan bola takraw. menuntun senja berlabuh di kangkar pulai indah ini dengan rona-rona jingga senja yang makin dimamah malam awal remaja.

letih petang itu bagai memujuk-mujuk selera untuk untuk diisi dengan makanan. aku lencongkan perjalanan untuk menyinggah sebentar ke deretan warung pacak yang baru memulakan langkah memungut rezeki malam peniaganya.

mata terpana pada warung burger sebelah hujung deretan warung pacak. peniaganya seorang wanita pertengahan 40an dalam anggaran aku. sudah terbiasa dengan burger buatannya yang sedap. dan selera maghrib itu ditarik-tarik dengan sebungkus burger daging special.

"kak, lama tak meniaga. lama tutup gerai?" aku tanyakan. "akak tak berapa sihat dik," jawab wanita pertengahan umur itu. tangan dan matanya cekap menguruskan apa yang menjadi sumber rezekinya itu.

"akak sakit apa?," lagak pemberita akhbar pojok arus perdana. soalan tiada berjawab. cuma dibalas senyum dan bunyian kuali dan perkelahian alatan-alatan memasaknya. cuaca mendung menggamit malam. ada rintik-rintik hujan mulai rebas.

"anak perempuan akak yang selalu tolong akak mana? tak nampak pun," soal aku lagi. "eh dia sekarang kerja jadi cikgu tadika dekat sekolah tadika depan taman tu. selalu cepat, hari ni pulak dia lambat," kata wanita itu.

mega jingga dilitupi awan hitam yang sarat membawa air hujan. ada bunyi guruh jauh sayup-sayup. "akak ni jarang pergi hospital dik, selalu sakit akak rehat dekat rumah. tapi haritu pergi hospital, terus kena tahan wad, rupanya akak ada penyakit," suara wanita itu membuka cerita.

"sakit apa kak?" aku balas pantas. matanya tepat ke pandangan aku. "kanser dik, dah tahap dua," balas wanita itu sambil senyuman terukir bersama kata-katanya tadi. terbeliak biji mata, bagi hilang suara dan kelu lidah untuk bicara. kanser! bukan suatu penyakit ringan dan bilamana tahapnya sudah ke peringkat serius.

"akak tak pergi kimoterapi ke?" soalan lagi keluar dari mulut aku yang cabul. "tak dik, akak tak pergi. orang sakit macam akak ni tak payah sangat nak fikirkan pasal penyakit ni. bila terlampau fikir nanti stress, bila stress lagi senang sakit, baik akak gembirakan hati akak dengan apa yang akak ada sekarang," jawabnya lagi dengan senyuman.

"ni burger awak, dik. terima kasih ya". tanpa banyak soal, aku bayar dan terus pulang. hujan sudah turun dan aku sengaja biarkan diri dibasahi sebegitu. dalam hati ada sedikit sesal kerana terlalu sibuk bertanyakan hal orang.

hujan terus lebat, tiada tanda akan ada reda. begitu juga hidup ini, belum tentu selamanya tenang dan bahagia. kehidupan bukanlah suatu yang boleh diramalkan. gembirakan hati dengan apa yang ada sekarang.

Sunday, July 10, 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU


selamat pengantin baru khas buat adik beradik; ika dan pasangan.

seorang lagi adik beradik dah masuk kelab baru. yang bakal masuk kelab tunangan orang pun dah ada. aku? masih belum bersedia untuk tanggungjawab dan komitmen penuh dalam apa juga sebarang status.

biarlah mereka jalan dulu. aku kayuh pelan-pelan dari belakang. biarlah mereka buka jalan dahulu, aku ikut jejak dari belakang.

biarpun aku terpaksa berada dalam bas dari JB-KL selama 6 jam lebih, tapi aku bersyukur sebab dapat juga hadir majlis walimatul urus kira kawan baik aku sorang ni.

congrats ika. cepat2 dapat anak-anak. ;)

Thursday, July 7, 2011

KUALA LUMPUR; SEPANJANG JALAN KENANGAN (PROLOG)

aku bakal menyusur jalan-jalan ke kuala lumpur petang ini. hajat sebenarnya untuk menghadiri majlis walimatul urus adik beradik satu tempat berguru 5 tahun dulu. kali pertama akan ke kuala lumpur setelah hampir 8 bulan tidak menjejakan kaki ke sana.

bakal melewati jalan-jalan kenangan. bakal terpana dengan tempat-tempat yang bakal membuatkan kenangan semalam kembali segar. bakal muncul dalam khayalan setiap moment yang tiap satunya ada cerita lama.

mungkin disuatu sudut aku akan tertawa sendirian bilamana melewati tempat-tempat kenangan, mungkin juga aku bakal termenung panjang merenung kisah di tiap ceruk pernah tertinggal kenangan aku disitu.

aku resah,


kuatkah jiwa untuk kebal tanpa lut dengan tikaman tajam kenangan.


sepanjang jalan kenangan. Kuala Lumpur.

Friday, July 1, 2011

MENGINTAI HIKMAH

kelmarin,
aku mengintai mentari mengufuk naik,
dalam mencari sinar baru menerangi jalan-jalan,
yang dulunya suram tanpa cahaya menerangi lorong-lorong sepi,
maha besar ciptaan tuhan,
rabbi izzati,
sungguh besar hikmah dan zat rahsia disebalik setiap ciptaan,
diciptakannya berbagai keadaan berbagai rupa,
keindahan dan keagungan yang tersirat,
untuk direnung dan dijadikan pedoman.

dan dengan suatu yang aku belajar tentangnya;
tidak diciptakan sesuatu itu dengan sia-sia.

;) alhamdulillah.